Khamis, 24 Ogos 2017 
Saiz Font :
logo-ofa

OFA

Online Finding Aid : Bukti ANM Memacu Ke Hadapan

Pembangunan Aplikasi Online Finding Aid (OFA) telah bermula dengan Kertas Cadangan Projek Panducari Online yang disediakan oleh Seksyen Panduan pada 14 Januari 2005, disusuli dengan penubuhan Jawatankuasa Panducari Online pada tahun 2008 yang dipengerusikan oleh Dr. Hjh Samsiah Muhamad dan kini direalisasikan melalui salah satu skop Projek MyCreative Content (MyCC).

Perlaksanaan Projek MyCC yang bermula pada penghujung tahun 2011, dengan empat skop utama iaitu Pendigitalan Bahan Arkib Dokumen, Pendigitalan Bahan Arkib Audio Visual, Naik Taraf Pusat Data dan Pembangunan Aplikasi OFA. Pembangunan Aplikasi OFA ini dipecahkan kepada enam modul utama iaitu pembangunan modul Panducari, integrasi data antara OFA dengan data daripada aplikasi Computerised Archival System (COMPASS), Archival Management System (AMS) dan Media Aset Management System (MAMS), pembangunan modul penempahan bahan dalam talian, pembangunan modul pembayaran dalam talian, pembangunan modul pemuliharaan format digital dan pengubahsuaian aplikasi COMPASS dan MAMS.

Tujuan utama pembangunan OFA adalah untuk menyediakan sistem yang mesra pengguna dengan menggunakan antara muka yang interaktif. Ini bagi membolehkan penyelidik membuat carian bahan arkib dengan mudah dan seterusnya dapat membuat tempahan dan bayaran bagi pembelian bahan digital.

Berbeza dengan penggunaan COMPASS dan COMPASSWeb, aplikasi OFA menggunakan antara muka dan tatacara carian yang sama bagi memudahkan penyelidik. Penggunaan OFA juga membolehkan satu carian berpusat dilakukan dengan mudah bagi semua jenis bahan arkib. Ini berikutan keupayaan OFA untuk membuat carian berpusat antara sistem COMPASS, AMS dan MAMS yang digunakan untuk menyimpan bahan arkib mengikut jenis dan format yang berbeza. Tambahan pula OFA membolehkan bahan arkib diakses secara serentak tanpa had bilangan penyelidik pada masa yang sama.

Bagi bahan arkib dalam bentuk analog, selain memberi akses terhadap metadata bahan, OFA membolehkan penyelidik membuat tempahan awal secara atas talian. Penyelidik diberi kemudahan untuk membuat tempahan seawal 3 hari sebelum datang membuat penyelidikan. Ini dapat menjimatkan masa, mempercepatkan proses penyelidikan dan secara tidak langsung dapat mengurangkan tempoh penantian bahan yang kadang kala menjadi rungutan penyelidik.

Manakala bagi bahan arkib dalam format digital, OFA menyediakan perkhidmatan muat turun bahan. Oleh itu, penyelidik yang tidak berkesempatan mengunjungi ANM mahupun penyelidik yang lebih menggemari carian bahan secara atas talian di dalam dan luar negara, kini bukan sahaja boleh melihat bahan arkib dalam format digital malah dapat membeli salinan bahan arkib yang dikehendaki dengan membuat membuat pembayaran secara langsung juga hanya menggunakan aplikasi OFA.

Melalui OFA, ANM berjaya membina dan membangunkan projek panducari online yang sofistikated dan menarik minat penyelidik dan orang awam. Penyenaraian dan pendeskripsian bahan dibuat mengikut level of description (ISAD(G): General International Standard Archival Description). Penyenaraian bahan arkib bagi setiap koleksi juga dibuat secara menyeluruh mengikut kumpulan.

Setelah perlaksanaan projek MyCC ini tamat pada Mac 2013, kesemua 3,400,000 mukasurat bahan arkib dan terbitan serta 2,242 jam bahan arkib audio visual berbentuk digital yang disimpan dalam Pusat Data berteknologi tinggi akan boleh diakses terus melalui aplikasi OFA. Penggunaan OFA membolehkan capaian bahan arkib kini tersedia diakses oleh semua lapisan masyarakat tanpa had waktu, tempat dan ketika. Penyelidik dari dalam mahupun luar negara boleh menggunakan Portal OFA atau melalui Portal ANM pada bila-bila masa.

Dengan kerjasama semua warga arkib dan sokongan pihak atasan ANM diharap projek pembangunan aplikasi OFA akan membuahkan hasil yang terbaik dan berkeupayaan mengiktiraf ANM sebagai pusat penyelidikan negara yang bertaraf antarabangsa dan sentiasa memacu kehadapan untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada penyelidik serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat berilmu.
Dasar Privasi | Dasar Keselamatan | Terma & Syarat
Penafian Pihak Kerajaan dan Arkib Negara Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini
Sesuai dipapar menggunakan Chrome, Mozilla Firefox versi 3.0 dan IE versi 9.0 dengan resolusi 1024 X 768
Jumlah Keseluruhan Pelawat
53176 (23)